Bab 2 : Perdagangan dan Politik

Kerajaan : Perdagangan dan Politik

Kebanyakan raja-raja Melayu memonopoli aktiviti perdagangan sebagai satu sumber pendapatan yang secara tidak langsung telah mempengaruhi lanskap politik di negeri masing-masing. Temenggong Ibrahim misalannya telah membangunkan sebuah empayar melalui penguasaannya terhadap getah percha dengan memastikan bahawa beliau mendapat keuntungan yang besar daripada komoditi tersebut. Getah percha telah dijadikan sebagai bahan perubatan pada tahun 1843. Lanjutan daripada tindakan tersebut, beliau telah berjaya mewujudkan sebuah Kesultanan Johor yang baru bersama anaknya Abu Bakar. 

Walau bagaimanapun, aktiviti monopoli merupakan salah satu cara pemerintah di Alam Melayu mengukuhkan ekonomi berdasarkan keperluan semasa yang berubah-ubah. Misalnya, Sultan Kelantan mengutuskan surat penjelasan kepada british berkaitan monopoli perdagangan benang kapas sebagai salah satu cara untuk menambah pendapatan negeri dan sekiranya perkara tersebut tidak berhasil maka kerja-kerja monopoli tersebut akan dihentikan. Penjelasan kegiatan perlanunan dan juga perdagangan dalam kalangan pembesar adalah kabur kerana raja-raja turut terlibat di dalam aktiviti tersebut dengan menaja para pelanun untuk merampas barang-barang dagangan. 

Di Terangganu umpamanya, sekumpulan lelaki telah ditawan oleh pihak British  telah menyebut bahawa mereka ditaja oleh sultan Sulu untuk merampas barang dagangan. Tomé Pires juga turut merekodkan bahawa barangan rampasan perlanunan akan dikongsikan bersama Raja. Meskipun begitu, aktiviti perlanunan ditinggalkan apabila terdapat peluang ekonomi yang lain. Temenggong Johor contohnya telah bertukar daripada seorang 'ketua lanun' yang berkuasa di Singapura kepada pedagang apabila menjumpai peluang ekonomi terhadap getah percha. 

Matlamat utama pemerintah di Alam Melayu bukanlah memonopoli perdagangan tetapi lebih kepada mencari serta mendapatkan kekayaan tanpa mengindahkan sumbernya. Pada abad ke sembilan belas, masyarakat Melayu telah menunjukkan sisi yang berbeza di dalam aktiviti perdagangan apabila lada dibawa ke Pulau Pinang dilakukan sendiri oleh masyarakat peribumi berbanding abad ke lima belas yang rata-rata pedagang adalah daripada Arab dan juga India. Walau bagaimanapun, sebahagian besar aktiviti perdagangan pada tahun 1820-an dikuasai oleh pedagang Cina yang seterusnya semakin bertambah selepas Perang Candu pada 1842.

Orang-orang Melayu dilihat lebih banyak berdagang di pelabuhan-pelabuhan asing berbanding tempatan ekoran daripada sikap raja yang lebih mementingkan pedagang luar berbanding pedagang tempatan. Selain itu terdapat juga beberapa senario yang menyaksikan  raja  merampas harta golongan bangsawan seperti kes Tun Mutahir yang difitnah melakukan jenayah sehingga dihukum bunuh oleh sultan dan hartanya dibawa ke istana. 

Pada abad ke sembilan belas ini, masyarakat Melayu berpandangan bahawa 'adalah membuang masa berkerja keras bila setiap keuntungan yang diperolehi pasti akan dirampas oleh mereka yang berkedudukan atasan'. Lanjutan daripada itu golongan diperintah hanya mengerah tenaga untuk memenuhi keperluan harian mereka sahaja dan tidak pula untuk mengumpul harta. 

Sultan secara umumnya, menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan sumber kewangan bagi mendapatkan dana bagi perkara-perkara tertentu seperti membiayai peperangan. Lanjutan daripada kekayaan membawa kepada kekuasaan seperti mana Temenggung Ibrahim dapat menjadi pemerintah yang sah di kerajaan Johor baru telah menjelaskan sikap raja-raja Alam Melayu di dalam mencorak tindakan politik di negeri masing-masing. 

Comments

Popular posts from this blog

Menangis Masa Temuduga DG41

Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu - Syed Muhammad Naguib Al-Attas

Bagi Gelandangan Makan